AMALAN SONGSANG
marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita.
kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh ISLAM.
1. amalan kenduri arwah
amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah saw di mana baginda telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati atau harta peninggalan si mati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?
2. kenduri kahwin
kalau hari ke kenduri walimatul urus kebanyakan kita kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). kalau tiada wang dalam tangan, maka ramai yang segan untuk pergi. tetapi kalau ia menziarahi orang mati, tidak segan pula salam tidak berisi. sepatutnya tatkala menziarahi keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. dalam kenduri kahwin, tak memberi pun tak mengapa kerana tuan rumah memanggil untuk makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
3. pakaian ketika solat
ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila menghadap Allah baik di rumah mahupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tidak berbaju. tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik?
4. menjadi tetamu
kalau menjadi tetamu di rumah orang dan diberi jamuan, ada yang berasa segan untuk menikmati makanan hingga habis. sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabis apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.
5. solat sunat
kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, rasa sangat malas. sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah saw untuk mengelakkan rasa riak.
6. bulan ramadhan
bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan. tetapi kebanyakan mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam paling tinggi adalah di bulan ramadhan. sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa adalah yang terendah. bukankah terbalik amalan kita?
7. kenduri mengerjakan haji
kebanyakan orang akan membuar kenduri sebelum bertolak ke Makkah namun apabila pulang dari mengerjakan haji tiada pula kenduri yang dibuat. anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, makan dibuat kenduri, bukan kerana mahu bermusafir, maka baru dibuat kenduri. bukankah amalan ini terbalik? atau kita mempunyai tujuan lain?
8. semua ibu bapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. maka dihantarlah ke kelas tuisyen walaupun banyak belanjanya. tapi kalau anak tidak boleh membaca Quran atau bersolat, tidak pula mereka bimbang bahkan tidak juga dihantar ke kelas tuisyen membaca Quran atau kelas khas mempelajari Islam.
kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan beratus-ratus dolar tapi kepada tok guru quran, $30 sebulan pun menggeletar tangan. bukankah terbalik amalan kita? kita sepatutnya lebih berasa bimbang jika anak tidak dapat membaca al-Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.
9. mencari rezeki
kita sanggup mencari rezeki Allah dengan bekerja tidak kira siang malam pagi dan petang. hujan atau rubut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. tapi ke rumah Allah (masjid) walaupun tidak hujan, tidak panas, tiada ribut tetap berasa berat untuk ke masjid. sungguh tak malu kita sebagai manusia, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.
10. isteri berhias
ketika keluar rumah sama ada bersama suami atau tidak ramai isteri yang berhias cantik. namun ketika duduk di rumah hak kecantikan diri tidak diambil kira. sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumah tangga kurang bahagia.
cukup dengan contoh-contoh di atas.
marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya.
marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita.
ALLAH yang mencipta kita maka biarlah ALLAH yang menentukan peraturan hidup kita.
(dari mingguan wanita bil:1282)